Jalur Gemilang
Berita :
 Kuala Terengganu Juara Bangsal Tradisi Karnival Pantai 2026
Kuala Terengganu Juara Bangsal Tradisi Karnival Pantai 2026
Mohd Irsyadi Abu Bakar
4 jam yang lepas
61

KUALA TERENGGANU, 20 September - Daerah Kuala Terengganu merampas gelaran juara daripada daerah Setiu apabila dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Bangsal Tradisi sempena Karnival Pantai Terengganu 2026, malam ini.

Kuala Terengganu meraih 91.20 peratus markah mengatasi juara bertahan tahun lalu, Setiu yang terpaksa berpuas hati berada di kedudukan kedua dengan 87.45 peratus.

Pasukan ibu negeri itu hadir ke Karnival Pantai Terengganu tahun ini dengan menampilkan tema Pasar Payang dengan mengetengahkan  legasi pasar yang menjadi identiti Kuala Terengganu suatu masa dahulu.

Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli berkata, pengunjung hari ini cuma mengenali bangunan baru Pasar Payang yang tersergam indah, namun sejarah tidak boleh melupakan bagaimana kewujudan Pasar Payang yang telah berabad wujud menyaksikan jatuh bangun Bandaraya Kuala Terengganu.

"Pasar Payang popular dengan pelbagai hasil warga tempatan. Di bangsal ini, kami bawakan kaedah pembuatan tradisional songket terengganu. Pengunjung dapat menyaksikan bagaimana songket ditenun yang menyerlahkan kehalusan dan ketelitian para penenun.

"Seiring kemajuan di sekitar Pasar Payang, turut menerima tempias kemajuan adalah bangsa Tiong Hua yang berpusat di Kampung Cina. Jadi, kami bawakan pameran kebudayaan daripada kaum Tiong Hua melalui cara berpakaian, keunikan makanan dan kesenian peralatan serta hiasan lama kaum Cina dalam menterjemahkan simbol perpaduan dan kepelbagaian warna budaya yang kekal menjadi tradisi. 

Bangsal Tradisi Kuala Terengganu turut mengembalikan permainan yang mungkin mengimbau nostalgia kita semasa kanak-kanak seperti Bedil Buluh Buah Nera, Laga Buah Getah, Jetik Tudung Botol, Main Batu Seremban, Congkak dan Ikan Sekila/Ikan Laga Kampung yang merupakan permainan lama yang kekal utuh menjadi pilihan meskipun dihimpit permainan moden," katanya ketika ditemui pada hari terakhir karnival, semalam.

Tambahnya, kemenangan itu menyaksikan pasukannya membawa pulang hadiah piala pusingan, piala kemenangan dan hadiah wang tunai RM6,000.

Tempat ketiga diraih daerah Dungun yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Manakala, daerah Kemaman, Kuala Nerus, Marang, Besut dan Hulu Terengganu masing-masing menerima hadiah saguhati RM1,000.






Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan