Jalur Gemilang
Berita :
Pengeluaran Padi Terengganu Meningkat , Rekod 60,750 Metrik Tan Pada 2025
Pengeluaran Padi Terengganu Meningkat , Rekod 60,750 Metrik Tan Pada 2025
Hidayah Azlin
2 jam yang lepas
53

KUALA TERENGGANU, 20 September — Sektor Pertanian Negeri Terengganu terus mencatatkan perkembangan positif apabila jumlah keseluruhan pengeluaran padi negeri merekodkan peningkatan ketara kepada 60,750 metrik tan bagi tahun 2025, berbanding 51,870 metrik tan pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, lonjakan hasil berkenaan disumbangkan oleh peningkatan purata pengeluaran padi negeri daripada 3.05 metrik tan per hektar pada 2024 kepada 3.7 metrik tan per hektar pada 2025.

Menurut beliau, prestasi pengeluaran itu merangkumi hasil keseluruhan daripada kawasan Jelapang Padi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) KETARA serta kawasan pesawahan di luar jelapang.

"Khusus bagi kawasan Jelapang Padi IADA KETARA, purata pengeluaran menunjukkan trend peningkatan daripada 4.06 metrik tan per hektar bagi tahun 2024 kepada 4.16 metrik tan per hektar pada tahun 2025," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Dr. Azman menegaskan bahawa Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai langkah proaktif dan menggembleng seluruh keupayaan yang ada mengikut skop bidang kuasa bagi melonjakkan sektor pesawahan negeri.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sebarang kawalan undang-undang dan dasar berkaitan industri berkenaan tertakluk di bawah pentadbiran Persekutuan.

"Kerajaan Negeri telah memainkan fungsi sebaik mungkin sehabis daya dengan bidang kuasa yang terhad demi memastikan hasil padi negeri terus meningkat.

"Namun, perlu dimaklumi bahawa Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara secara keseluruhannya terletak di bawah kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)," tambahnya.

Kejayaan peningkatan hasil ini membuktikan kecekapan pengurusan kawasan pesawahan di Terengganu, sekali gus memperkukuh agenda keterjaminan makanan di peringkat negeri dan negara.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan