• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

JHEAT Tahan Pelaku Video Lelaki Peluk Wanita

KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Pelaku yang berpakaian dan berkelakuan tidak senonoh di kedai air buah sebagaimana video tular sudah ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, wanita tersebut ditangkap di premis miliknya dalam satu operasi bersama pihak Polis serta Majlis Daerah Setiu, semalam.

Katanya, pihaknya mengesyorkan kes terbabit dirujuk mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

“Keterangan telah direkodkan, beberapa saksi termasuk saksi tambahan akan turut dipanggil bagi membantu siasatan.

“Sebaik siasatan lengkap, kertas siasatan akan dihantar ke bahagian pendakwaan syarie untuk didakwa di bawah mana-mana seksyen,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Program Pelupusan Kiub Abu Al-Quran ke Laut kali 1/2022 bertempat di Jeti Kargo, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur, di sini hari ini.

Menurut M Rozi, pelaku terbabit sebenarnya sudah dipanggil ke pejabat JHEAT untuk diambil tindakan dan diberi nasihat oleh pihaknya sebelum ini.

“Kedai makan ini memang dalam pemantauan kita sebelum ia tular lagi.

“Tindakan pun sudah diberi  dan ketika itu pelaku tidak mengulangi perbuatan tidak senonoh, namun kali ini ia berlaku kembali,” jelasnya.

Beliau berharap agar orang ramai terus menjaga tatasusila supaya selari dengan ajaran agama Islam.

“Jangan melakukan perbuatan yang tidak bermoral dan jika ada maklumat tentang aktiviti tidak bermoral, sila laporkan kepada kami,” tegasnya.

Baru-baru ini tular di media sosial video berdurasi 34 saat yang memperlihatkan dua pelanggan tanpa segan silu bergambar dengan pekerja wanita di kedai berkenaan.


Tag: