• 26 Sept 2021 | 18 Safar 1443

JHEAT Tubuh Skuad Urus Jenazah Secara Percuma

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos- Satu skuad sukarelawan telah ditubuhkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)bagi mengurus jenazah pesakit COVID-19 secara percuma. 

Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad, berkata ia bagi mengurangkan beban ahli keluarga terutama golongan asnaf dalam menguruskan jenazah walaupun kos dikenakan pengurusan jenazah tidak membebankan.

Katanya, pengurusan jenazah mengenakan caj RM750 termasuk keranda, batu nisan dan kelengkapan lain.

"Kos tambahan RM200 hanya dikenakan jika ahli keluarga meminta pengurusan jenazah menggali kubur," katanya.

Mengenai bayaran tinggi untuk menguruskan jenazah pesakit COVID-19, Mat Azmi berkata, ia sedang disiasat tetapi pihaknya belum menerima aduan daripada ahli keluarga.

Sementara itu, pengurus dan pembekal peralatan pengurusan jenazah, Shahmil Hameed Syed Ahmed, 52, berkata kos pengurusan jenazah pesakit COVID-19 yang dikenakan kurang RM800.

Katanya, kos berkenaan termasuk pembelian keranda, batu nizan, peralatan lain, manakala kos solat jenazah dan proses tayammum ditanggung sepenuhnya Jabatan Kesihatan negeri.