• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Jiran Prihatin- Bazlan


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman mahu setiap jiran mengambil cakna jiran masing-masing dalam usaha untuk menghindarkan kegiatan tidak sihat di setiap komuniti.

Bazlan berkata, sikap mengambil tahu apa yang berlaku kepada jiran boleh melahirkan generasi terbaik terutamanya kepada anak-anak remaja.

"Kawal anak-anak kita, bersama-sama kita menjaga termasuklah anak-anak jiran, tegur- menegur antara satu sama lain.

"Jiran pula jangan marah jika ada orang tegur anak kita. Insya-Allah kita dapat melahirkan generasi terbaik," katanya ketika berucap di majlis perasmian Program Berkhatan Beramai-ramai Dun Batu Rakit di Kampung Wakaf Cagak, Batu Rakit, semalam.

Menurut Bazlan, program berkhatan beramai-ramai itu adalah satu contoh kerjasama yang baik antara penduduk dan kerajaan kerana masing-masing berperanan untuk menjayakan program itu.

Pejabat DUN Batu Rakit turut membiayai sebanyak RM50 seorang kepada program itu untuk kos berkhatan selain sumbangan penganjur.


Sementara itu, program anjuran Komuniti 1Malaysia Wakaf Cagak dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Batu Rakit dan Bomba itu disertai 37 kanak-kanak dan enam orang mudim.

Tag: