• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

JKM Pertimbang Tambah 8,000 Peluang Kerja

MARANG, 30 November -  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Malaysia sedang mempertimbangkan kewajaran pertambahan sekurang-kurangnya 8,000 peluang pekerjaan dalam usaha pengstrukturan semula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Timbalan Menteri kementerian itu, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pertambahan itu bertujuan  memenuhi keperluan terdesak  terutama ketika berdepan dengan musim tengkujuh  di mana-mana negeri yang sering dilanda banjir, termasuk Terengganu..

"Melalui belanjawan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia baru-baru ini, kerajaan bercadang untuk meluluskan 50,000 jawatan secara kontrak melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pihak kementerian kami juga telah memohon sebanyak 8,000 jawatan untuk keperluan masyarakat.

"Itu juga mungkin perlu ditambah lagi kerana saya melihat banyak isu-isu yang memerlukan tambahan tenaga kerja yang melibatkan kumpulan sasar di bawah Kementeria Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,"katanya

Lawatan bersama di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Marang

Menurut Siti Zailah, pihaknya  juga memahami bahawa tenaga JKM kini agak terhad di mana mereka bukan sahaja menguruskan permohonan dan kerja di pejabat, tetapi mereka juga perlu membuat siasatan terhadap kes aduan dan menjaga keperluan di pusat-pusat perpindahan sementara.

"Oleh itu, kita juga sangat mengharapkan kerjasama dalam kerajaan dan juga sokongan daripada sukarelawan-sukarelawan serta daripada semua pihak untuk bersama-sama kita memastikan keperluan terutama di musim bencana dapat diberikan secara terbaik kepada rakyat yang memerlukan,"katanya..

Beliau berkata ketika hadir melawat Depoh Simpanan Keperluan Bencana Marang bersempena pelancaran program Kembara Perihatin Negara peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional, Alias Harun, ADUN Wanita Terengganu, YB Zuraida Md Noor, dan Pengarah JKM Negeri Terengganu, Zuhaimi Omar.

Ziarah dan penyerahan kerusi roda kepada penduduk setempat yang uzur

Sementara itu, dalam aktiviti ziarah yang dilakukan di beberapa rumah penduduk sekitar, beliau menjelaskan bahawa tujuan program turun padang ini adalah bertujuan untuk melihat sendiri keadaan dan perkembangan semasa klien di bawah JKM.

"Setinggi penghargaan kepada kakitangan JKM, sukarelawan dan semua pihak yang bergitu tekun serta perihatin terhadap kebajikan rakyat terutama golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan terlantar khususnya yang perlu dibantu sepanjang masa.

"Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu melalui Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang di mana saya dimaklumkan bahawa satu inisiatif telah diambil untuk membaik pulih rumah seorang penduduk yang merupakan penerima bantuan JKM."


Tag: