• 29 Nov 2021 | 23 Rabiul Akhir 1443

JKNT Sedia Gerak 680 Petugas Bantu Di PPS

KUALA TERENGGANU, 20 Oktober - Seramai 680 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bersedia membantu mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu. 

Pengarahnya, Dato' Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi banjir di semua daerah, lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

"Seramai 322 orang mengendalikan aktiviti pencegahan di samping kawalan penyakit sebelum, semasa dan selepas banjir di PPS atau kawasan terjejas banjir. 

"Setiap pasukan kesihatan itu diwakili tiga anggota yang terdiri daripada penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pemandu,"
katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, baki 358 petugas daripada 72 pasukan lagi memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan jika berlaku kejadian kecemasan di PPS. 

“Mereka ialah pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan, jururawat terlatih, jururawat masyarakat dan pemandu yang sentiasa bersiap sedia apabila diarahkan,” ujarnya.

Kasemani juga berkata walaupun kes Covid-19 di Terengganu menunjukkan tren yang semakin menurun, tetapi semua pihak tidak boleh leka.

"Pematuhan SOP mesti diutamakan bagi membendung penularan wabak ini di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),"tegas beliau.