• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

JKNT Siasat Kes Keracunan Akibat Sisa Kumbahan Di Pulau Perhentian

KUALA TERENGGANU, 5 Jun -Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu kini dalam proses menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar berkaitan isu kejadian keracunan makanan yang dikatakan berpunca daripada air tercemar di Pulau Perhentian.

Pengarah Kesihatannya, Datuk Kasemani Embong berkata pihaknya telah mengambil maklum isu yang dilapor melibatkan enam
sekawan yang mendakwa mereka jatuh sakit selepas berenang di perairan Pulau Perhentian yang dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan yang tidak dirawat.

Katanya, namun setakat ini Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Besut tidak menerima sebarang laporan berhubung kes itu. 

"Sehingga kini pihak JKN Terengganu masih dalam proses siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar isu berkenaan. 

"Setelah menyemak data kejadian keracunan makanan bagi tahun 2021 sehingga 5 Jun lalu, pihak JKN Terengganu juga tidak menerima apa-apa notifikasi kes keracunan makanan yang berlaku di Pulau Perhentian," katanya dalam kenyataan, disini,

Dalam pada itu, katanya, PKD Besut telah bekerjasama dengan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, JKN Terengganu dan Pejabat Daerah Besut dalam Operasi Pemeriksaan Premis Makanan dan Bekalan Air yang telah diadakan di Pulau Perhentian, Besut pada 1 hingga 3 Jun 2022. 

"Ia bagi memastikan tahap kebersihan premis penyediaan makanan, keselamatan makanan serta bekalan air berada pada tahap yang terbaik. 

"Sebanyak 49 premis makanan telah diperiksa dan hasil daripada 
pemeriksaan yang dilakukan, sebanyak 17 premis (34.7 peratus) diberikan Gred A, manakala 32 premis (65.3 peratus) diberikan Gred B," jelasnya lagi.

Dr Kasemani juga berkata pihaknya sentiasa memandang serius mengenai kes keracunan makanan dan 
menasihati pengendali makanan supaya sentiasa menitikberat aspek 
kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual.

"Mereka perlu memastikan makanan disediakan bersih serta selamat bagi mengelakkan kes keracunan makanan.

"Saya nasihatkan orang ramai supaya mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi,"katanya.

Semalam sebuah portal berita  melaporkan keenam-enam mereka mendakwa mula muntah-muntah pada malam terakhir ketika menghabiskan meluangkan masa bercuti selama dua malam di lokasi tarikan pelancong itu.