• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

JMKM Catat Nilai Jualan Lebih RM2.5 Juta

KUALA NERUS, 25 September - Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) berjaya menarik seramai 78,336 pengunjung dengan jualan melebihi RM2.5 juta sehingga 18 September 2022.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk   Azman Mohd Yusof berkata transaksi jual beli itu adalah hasil penganjuran JMKM di 93 lokasi meliputi semua 32 DUN dalam lapan kawasan parlimen di negeri Terengganu. 

"Program dilaksanakan secara in-house di premis rakan strategik seperti pasaraya-pasaraya dan kedai runcit di Terengganu dengan peruntukan RM25,000 sebulan untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tempoh 15 Ogos sehingga 31 Disember 2022.

"JMKM menawarkan harga keperluan asas lebih rendah hingga 30 peratus adalah usaha kerajaan membantu golongan memerlukan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program JMKM di Pasar Taif Kampung Duyung, Seberang Takir, di sini, hari ini.

Sementara itu, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sebelum ini berjaya merekodkan jualan sebanyak RM63 juta sejak dilancarkan pada 2 Disember tahun lepas.

Azman berkata, transaksi jual beli itu adalah hasil penganjuran PJKM di 2,000 lokasi di semua 222 kawasan parlimen seluruh negara.

"Program tersebut telah memanfaatkan lebih 3.4 juta dalam usaha membendung inflasi dan mengurangkan beban kos sara hidup yang dialami oleh ahli Keluarga Malaysia terutama golongan B40 dan M40," katanya.

Tambah beliau lagi, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI) kemudiannya telah menjenamakan semula PJKM menjadi Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM).

"JMKM kini diperluaskan ke kesemua 600 DUN seluruh negara dan 13 Parlimen di Wilayah Persekutuan sebagai kesinambungan usaha membantu mengurangkan beban kos sara hidup golongan B40 dan M40,"katanya.