• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Johor Mahu Contohi Terengganu

Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – Kejayaan Kerajaan Terengganu mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia akan dijadikan contoh buat Kerajaan Negeri Johor untuk memperkenalkan perkara sama di negeri tersebut.

Yang Dipertua  Speaker Dewan Negeri Johor, Suhaizan Kaiat berkata, dengan kesediaan Kerajaan Terengganu untuk berkongsi pengalaman, beliau yakin persidangan yang dianggotai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia yang dilantik selepas menjalani sesi temuduga itu juga boleh dilaksanakan di negeri berkenaan.

“Pelantikan ADUN Belia adalah sebagai latihan untuk mereka, selain menarik golongan muda untuk bersama-sama mengetengahkan dan menyalurkan apa jua isu kepada kerajaan, ia juga adalah usaha yang baik bagi mendedahkan golongan belia memahami struktur pentadbiran negeri.

"Lawatan ini adalah bertukar maklumat dan pandangan di antara dua negeri tentang penubuhan DUN, pengurusan serta perjalanan persidangan bagi memperkasa dewan untuk kesejahteraan rakyat," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Pejabat DUN Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali dan Timbalan Yang Dipertua  Speaker Dewan Negeri Johor, Gan Peck Cheng.

Suhaizan berkata, lawatan tersebut juga bagi mengeratkan hubungan di antara dua negeri.
 
"Saya mengambil pandangan Yang Dipertua DUN Terengganu dan merumuskan bahawa hubungan Badan Legislatif dan Eksekutif perlu seiring bagi memudahkan pembaharuan yang hendak dilakukan di DUN dapat direalisasikan," katanya.

Suhaizan menambah, usaha berterusan yang dibuat DUN Terengganu dengan melaksanakan perubahan termasuk modal insan adalah satu inisiatif yang sangat  baik.

“Saya berpendapat Kerajaan Negeri Terengganu dalam keadaan stabil dan berfungsi dengan baik,” tambah beliau.
 


Tag: