KUALA TERENGGANU, 3 Oktober – Hanya artis lelaki dibenar membuat persembahan nyanyian dalam Karnival Jom Heboh (KJH) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus pada 7 hingga 8 Oktober ini, ujar Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri.
Ariffin Deraman berkata, artis wanita yang menjaga reruai, pameran dan aktiviti jualan pula diwajibkan memakai tudung serta menutup aurat sepanjang program berlangsung.
Katanya, Media Prima Berhad (MPB) selaku penganjur telah bersetuju untuk melaksanakan program terbabit mengikut garis panduan hiburan yang ditetapkan oleh kerajaan Terengganu.
"Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang untuk hadir kerana semuanya akan berada dalam keadaan terkawal. Saya sangat berharap agar pihak Media Prima dapat menjaga sensitiviti umat Islam kerana sehari sebelum program tersebut diadakan program Maulidur Rasul.
“Semoga orang ramai yang hadir dapat menjaga adab dan tingkah-laku supaya tidak menimbulkan sebarang isu yang negatif," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sidang Media dan Penyerahan Penajaan Mount Tebu Climbhahon Challenge bertempat di Bilik Rehat Khas Aras Bawah baru-baru ini.
Terdahulu, Ariffin berkata pihaknya telah memberi beberapa saranan agar sebarang hiburan atau aktiviti yang akan dijalankan tidak melanggar batas di samping mengetengahkan konsep islamik.
"Tempat duduk penonton juga akan diasingkan, ini sudah dipersetujui pihak penganjur.
"Kita menyokong mana-mana program yang hendak dianjurkan seumpama KJH ini asalkan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dan patuh syariah di samping akan membawa kepada keuntungan kepada rakyat,” katanya.