• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

‘Jom Ke Masjid’ Ikat Hati Generasi Baharu

KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Masjid Al-Furqan, Chendering telah menganjurkan Program Jom Ke Masjid bagi mengikat hati kanak-kanak serta para remaja untuk solat berjemaah di masjid.

Menurut Pengerusi Masjid Al-Furqan, Abdul Rahman Che Mat, matlamat program tersebut diadakan untuk menanam budaya solat berjemaah di masjid kepada generasi baharu.

“Program ini akan berlangsung sepanjang Bulan Ramadan di mana peserta-peserta berumur 7 hingga 17 tahun, masing-masing akan diberikan kad solat lima waktu.

Abdul Rahman memberikan penerangan tentang program kepada peserta

“Selepas selesai solat fardhu berjemaah, peserta perlu dapatkan cap daripada Ahli Jawatankuasa Masjid,” kata Abdul Rahman ketika ditemui pemberita usai solat tarawih di masjid itu yang diimamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, semalam.

Tambah beliau lagi, peserta yang berjaya mengumpulkan cap terbanyak akan diberikan hadiah. 

“Hadiah yang kita tawarkan berupa wang tunai, hamper, sijil penyertaan dan banyak lagi mengikut kepada jumlah cap yang terkumpul.

Peserta-peserta Program Jom Ke Masjid

“Harapan kami agar program ini dapat membentuk para peserta untuk sentiasa solat fardhu berjemaah walaupun di luar Bulan Ramadan,” katanya lagi.

Selain itu, Masjid Al-Furqan juga turut menganjurkan majlis tadarus Al-Quran, Program Sentuhan Kasih Anak Yatim Dan Fakir Miskin, program derma darah dan lain-lain lagi dalam mengimarahkan Bulan Ramadan ini.

Kad solat 5 waktu berjemaah yang diberikan kepada peserta