• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jordan Mintah Berkelana ke Kuala Lumpur

KUALA TERENGGANU, 22 Jun- Harapan penyerang Terengganu Football Club II (Terengganu FC II), Jordan Mintah untuk bermain di Liga Super Malaysia kelihatan bersinar apabila bakal dipinjamkan ke Kuala Lumpur City FC sehingga hujung musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh memaklumkan, pihak pengurusan telah memutuskan untuk meminjamkan penyerang import kelahiran Ghana itu bagi tempoh pinjaman sehingga tamat musim ini iaitu pada 30 November 2022.

"Jordan yang masih berbaki kontrak sehingga tahun 2023 akan kembali bersama kelab ini setelah tempoh pinjaman berakhir.

"Terengganu FC ingin mengucapkan selamat maju jaya buat Jordan Mintah dan semoga peluang untuk beraksi di pentas Liga Super dan AFC Cup digunakan sebaik mungkin untuk membuktikan kualiti serta mendapatkan pengalaman di saingan liga tertinggi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya, melalui syarat serta terma yang telah dipersetujui kedua-dua kelab, Jordan Mintah juga terikat dengan 'gentleman agreement' yang menimbulkan kontroversi sebelum ini iaitu beliau tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan menentang pasukan Terengganu FC atau Terengganu FC II sepanjang tempoh pinjaman.

Musim lalu, Jordan membuat enam penampilan bersama Terengganu FC dalam saingan tertinggi dalam negara dan meledak empat gol sepanjang tempoh itu.

Beliau juga memenangi kasut emas Liga Premier Malaysia 2021 apabila mencatatkan 21 gol bagi pasukan Terengganu FC II, tahun lalu.

 

 

 

 

 


Tag: