KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sejumlah RM759,541 bayaran saman dikutip Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menerusi tawaran pengurangan saman sehingga 70 peratus yang berakhir semalam.
Pengarah JPJ, Zulkarnain Yasin berkata, tawaran bermula 3 Ogos lalu itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.
"Sepanjang tempoh berkenaan, pihak kami mengutip RM759,541 daripada 10,698 transaksi saman dibayar pesalah-pesalah yang diberi kompaun.
"Setakat ini, kutipan daripada pembayaran saman JPJ Kuala Terengganu adalah yang tertinggi iaitu sebanyak RM318,873 daripada 4,464 transaksi saman,” ujarnya.
Beliau berkata demikian di Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Kepada 'Food Rider' negeri di Pejabat JPJ, di sini hari ini.
Tegasnya lagi, antara kompaun yang paling banyak dibayar melibatkan kesalahan lesen memandu.
Tambah beliau,bermula hari ini kompaun akan mengikut harga asal seperti sebelum ini kerana tempoh diskaun sudah berakhir.
Terdahulu, sebanyak 70 peratus pengurangan ditawarkan berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem JPJ dan yang telah ditetapkan bagi kes-kes di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah dibawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.