• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Fakir Miskin, Anak Yatim, OKU Terima Bantuan Ramadan

DUNGUN, 3 Mei – Seramai 54 fakir miskin, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) di Kampung Gong Gemia di sini menerima bantuan wang saku sempena ramadan daripada pimpinan masyarakat baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Gong Gemia, Mohd Ibrahim Md Din berkata, bubur lambuk yang dimasak bersama komuniti turut diberikan kepada 800 penduduk dalam majlis pemberian bantuan itu.

Katanya, secara tidak langsung aktiviti terbabit juga dapat mengeratkan silaturahim antara komuniti setempat sempena Ramadan.

"Pada sebelah pagi ahli jawatankuasa JPKK Gong Gemia bersama-sama memasak bubur lambuk dan selepas zohor dibuat pengagihan.

"Seramai 54 orang fakir miskin, anak yatim dan Orang Kelainan Upaya (OKU) turut diraikan dengan pemberian wang saku selain 800 buah rumah menerima bubur lambuk kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media sejurus selepas Program Agihan Bubur Lambuk dan Sumbangan Fakir Miskin, Anak Yatim, OKU di Balairaya JPKK Gong Gemia.

Katanya, perbelanjaan untuk mengadakan program tersebut adalah hasil kutipan derma orang ramai dan duit daripada JPKK sendiri.

“Alhamdulillah, kita mendapat sambutan daripada orang ramai untuk menyumbang wang dan tenaga bagi menjayakan program ini. Terima kasih diucapkan,” ujarnya.


Tag: