• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

JPKK Tempat Rakyat Mengadu

 

Oleh : Rohayati Ripin

DUNGUN, 2 Januari - Kerajaan Terengganu mengingatkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) agar boleh menjadi tempat rakyat memberi pandangan, menyalurkan idea dan cadangan  mereka kepada pihak berkuasa di negeri ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, JPKK boleh menjadi 'tulang belakang' kepada kepimpinan yang ada di kawasan ini serta melaksanakan tugasnya dengan baik.

“JPKK harus merancang bagaimana kita boleh menjadikan bandar Bukit Besi ini dalam satu suasana yang lebih kondusif kepada masyarakat.

“JPKK tidak boleh lagi berada dalam kepompong konvensional dan harus punyai 'Master Plan' bagi merancakkan pembangunan kampung, dan seharusnya merangkumi aspek pembangunan infrastruktur, pembangunan sosial yang punyai KPI tersendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Balai Raya Perumahan dan Penyerahan Kunci di Dataran Kejap Futsal DUN Bukit Besi, Dungun, semalam .

Sehubungan itu, kata Dato Yahaya, balai raya ini hendaklah digunakan secara 'holistik' melibatkan pelbagai aktiviti masyarakat seperti membuat tuisyen rakyat, seminar motivasi, tempat bermesyuarat dan berprogram.

“Pastikan infrastrutur yang ada ini tidak berlaku 'vandalisme' dan perkara yang merosakkan harta benda awam.  

"Kami (kerajaan)  berharap supaya pertemuan demi pertemuan dapat diadakan di sini (balai raya) dan masyarakat setempat boleh menjadi pembantu kepada balai ini untuk menjadi bandar yang maju , berkat dan sejatera sebagaimana hasrat kerajaan negeri yang ada sekarang ini,” jelasnya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar bersama-sama menjaga dan memasyarakatkan balai raya sebagai pusat komuniti masyarakat di kawasan ini.


Tag: