• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

JPKK Terengganu Bakal Dianggotai PAS, Umno Dan Bersatu


KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Keanggotaan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Terengganu atau sekarang dikenali sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan dianggotai oleh PAS, Umno dan Bersatu mulai tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu adalah selaras dengan hasrat pihaknya untuk maju ke hadapan bersama rakan-rakan gabungan baharu.

“Saya juga telah berbincang dan memaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim bahawa cadangan penambahan komposisi dalam JPKK adalah dengan bilangan yang sesuai, insya-Allah ia akan dimuktamadkan dan dilaksanakan bermula pada awal tahun 2021.

“Dalam debaran ini, kita mengharapkan keharmonian baharu dapat diwujudkan dan ditambah baik dalam JPKK yang dijenamakan semula nanti. 

"Sekiranya ini dapat dicapai, saya yakin kita mampu untuk membuka ruang di struktur pentadbiran masyarakat di segmen yang lain pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menjelaskan, pemerkasaan kerjasama itu juga akan berterusan ke peringkat tertinggi apabila wakil rakyat semua parti dilibatkan dalam jawatankuasa-jawatankuasa khas bagi membincangkan pemerkasaan ekonomi dan industri Terengganu.

"Perubahan ini perlu dilakukan dengan cermat agar ia tidak menyebabkan sebarang kejutan di bawah sana.

"Hal ini perlu dirundingi secara berlapang dada, kerana parti-parti yang ada dalam Dewan ini juga perlu berkira-kira dengan suasana rakan-rakan kita di negeri-negeri lain juga, seperti Johor, Melaka, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan," ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya akan terus memperkukuhkan saluran pertemuan, dan perbincangan sesama rakan gabungan, supaya setiap perbezaan dapat dirungkaikan.


Tag: