• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

JPKKP Tak Selari Demokrasi

KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masih dikekalkan kerana penubuhan JPKK Persekutuan (JPKKP) tidak selari dengan demokrasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata negeri ini mengamalkan sistem demokrasi yang memberi hak kepada rakyat untuk memilih dalam pemerintahan dan pilihan raya.

Katanya, melalui demokrasi yang dilaungkan dalam perlembagaan maka rakyat Terengganu telah memilih Parti Islam Semalaysia (PAS) dalam pilihan raya yang lalu.

“Seandainya terlaksana maka akan menyebabkan terdapat dua pentadbiran dalam satu kampung.

“Justeru akan berlaku pertelingkahan pendapat sehingga boleh menyebabkan perbalahan dalam masyarakat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Siaran Langsung Isu Minggu Ini bertempat di Studio TV Darul Iman di sini semalam.

Tambah Mohd Nor, JPKKP tidak perlu dan tidak sewajarnya diwujudkan di Terengganu.

“Kerajaan Persekutuan perlu melihat di Terengganu terdapat 96 peratus dan Kelantan 95 peratus orang Islam maka sistem JPKKP ini tidak perlu.

“Memandangkan polisi kerajaan Persekutuan dalam melaungkan reformasi iaitu perubahan atau pembaharuan terhadap suatu sistem yang telah ada pada masa lalu,” katanya.

Beliau berkata, jika diwujudkan juga sistem JPKKP ini maka diibaratkan berundur ke belakang semula.

“Iaitu mengambil balik apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang tidak baik ketika itu.

“Seandainya terjadi maka perpaduan tidak berlaku dalam masyarakat melainkan sebaliknya,” ujarnya.


Tag: