• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

JPKKP : Terengganu Kekalkan JPKK

KUALA NERUS, 29 Januari - Kerajaan Terengganu tetap akan mengekalkan jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) biarpun kerajaan Persekutuan menubuhkan JPKK Persekutuan (JPKKP) di negeri terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Terengganu mampu menguruskan sendiri segala perbelanjaan JPKK termasuk menyalurkan peruntukan dengan ditanggung oleh kerajaan negeri.

"Saya telah memaklumkan dalam mesyuarat baru-baru ini bersama dengan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (Datuk Seri Zahid Hamidi), Terengganu akan kekal dengan JPKK sedia ada tidak akan berganjak dengan akan terus dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri Terengganu.

"Apabila jadi dua orang 'driver' dalam satu kampung harapan kita tidak akan berlaku pertembungan di tengah jalan, jadi itu sahajalah yang kita kita harapkan.

"Sebenarnya di Terengganu ini memang kita telah lama mengambil perjalanan untuk membiayai sendiri JPKK termasuk menyediakan geran JPKK kita sendiri yang melaluinya disalurkan peruntukan, jadi kita tidak bergantung kepada peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Halatuju Sektor Pertanian Terengganu Untuk Masa Hadapan, di Dewan Perdana Al-Wathiqu Billah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kata Dr Azman, pelantikan JPKKP itu menjadi fokus ketika hadir dalam mesyuarat yang dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri itu.

"Kita dimaklumkan mengenai keputusan kabinet yang telah ada dan proses pelantikan sedang diuruskan, dalam konteks Negeri Terengganu, JPKKP ini akan diuruskan oleh Pejabat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah negeri.

"Manakala urusan pembayaran elaun serta peruntukannya pula akan disalurkan melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)," ujarnya.

 


Tag: