• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

JPPM Luluskan 795 Permohonan Geran Bawah MyICE

KUALA NERUS, 3 Jun - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan sebanyak 795 daripada 1,450 permohonan geran di bawah Insentif Pemerkasaan Komuniti Malaysia (MyICE) bernilai RM7.616 juta sehingga hari ini.

Ketua Pengarah JPPM Mohd Nawardi Saad berkata, permohonan tersebut membabitkan pelbagai pertubuhan seperti keselamatan, kebajikan, sosial, alam sekitar dan hak asasi.

Katanya, terdapat permohonan yang terpaksa ditolak kerana tidak bersesuaian dengan ketetapan dan hasrat JPPM manakala sebahagian masih dalam proses.

"Ada permohonan yang kita tak tolak sepenuhnya dan ada yang kita jemput untuk mohon semula sebab apa yang dibentangkan tidak bersesuaian dengan ketetapan yang kita buat.

“(Bagi permohonan yang ditolak), jumlahnya lebih daripada 100 dan kita tidak sekat dia untuk mohon semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Mock Cheque Geran di bawah Insentif Pemerkasaan Komuniti Malaysia (MyICE) Tahun 2022 di Pentas Utama, Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Nawardi menyerahkan 15 geran MyICE kepada 15 persatuan di Terengganu.

Tambah beliau, kerajaan juga peruntukkan RM20 juta  dengan sasaran sekurang-kurangnya 2,000 pertubuhan yang akan menerima manfaat ini.

Katanya, pertubuhan yang layak akan menerima geran maksimum sehingga RM10,000 bergantung kepada penilaian yang dibuat JPPM.

Sementara itu di Terengganu, kerajaan memperuntukkan RM1 juta dan sehingga Mei lalu, sebanyak 53 persatuan berdaftar dibawah JPPM mendapat kelulusan geran melalui MyICE.