• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

JPS Ambil Kira Kepentingan Komuniti




Oleh: Hanif Hamdan dan Ahmad Syahid Adnan

SETIU, 11 Disember - Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau  negeri, semalam mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Setiu dan kawasan Lembangan Sungai Setiu bagi mendapat input berkaitan projek dan isu sekitar.

Pengerusinya, Dr Mamad Puteh berkata, lawatan itu bertujuan mendengar taklimat dari JPS dan mendapat gambaran sebenar mengenai tahap dan kesan projek serta manfaat kepada komuniti setempat.


“Saya mendengar sendiri taklimat yang diberikan oleh JPS di pejabatnya mengenai beberapa projek yang perlu diberikan pemerhatian sewajarnya dan mengambil kira semua aspek apabila berlakunya pembangunan di sini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja di Bilik Mesyuarat JPS Daerah Setiu,di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusinya, Ir Saiful Azmi Suhaili.


Dr Mamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang berkata, kerajaan akan melaksanakan projek ‘breakwater’ dan mengambil kira juga pandangan daripada mereka yang pakar dalam bidang itu kerana pembangunan pastinya memberikan kesan sampingan kepada penduduk di sini.

“Kerajaan akan buat projek ‘breakwater’ di muara Sungai Setiu bersama dengan pembangunan di sekitar muara Sungai Setiu, apabila kita hendak buat pembangunan, kita mestilah tengok kesan sampingan apabila berlakunya pembangunan di sini.

“Kita tahu ada banyak sangkar ikan di sini seperti sangkar ikan kerapu ‘hybrid’ dan sangkar ikan siakap di mana hasilnya berjuta ringgit setahun, pembangunan yang dijalankan pasti menjejaskan persekitaran, nelayan, penternak ikan dan sebab itulah kita perlu memberikan pemerhatian dalam melaksanakan pembangunan di kawasan ini,” katanya.

Beliau ymenyatakan bahawa pandangan daripada pelbagai pihak perlu diambil perhatian bagi memastikan rancangan tersebut berjalan dengan lancar dan tidak memberi masalah kepada orang ramai.


Tag: