• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

JPS Pasang Siren Hantar Amaran Banjir Kepada Penduduk

HULU TERENGGANU, 8 Disember - Sebanyak 21 stesen siren amaran awal banjir dibangunkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu bagi memberi isyarat kepada penduduk mengenai bencana banjir di Terengganu.

Timbalan Pengarah JPS Terengganu, Osman Abdullah berkata, stesen siren yang bernilai RM80,000 setiap satu itu dinaik taraf menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) untuk memberi lebih kecaknaan kepada penduduk setempat berdepan musim tengkujuh.

"Bunyi siren ini dapat didengar dalam jarak radius satu kilometer serta ia mengeluarkan arahan dan peringatan dalam bahasa Melayu dan tempatan untuk memudahkan penduduk. 

"Ada dua bunyi yang disetkan, satu menandakan amaran air sungai telah melimpahi tebing. Manakala kedua, bunyi amaran bahaya supaya penduduk segera berpindah.

"Ini penting kerana kawasan ini terutamanya, kadar kecepatan air naik adalah cukup tinggi, jadi siren ini amat membantu memberi amaran pada sebelah malam terutamanya," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke stesen pemantauan banjir di Masjid Kampung Pengkalan Ajal Hulu Terengganu di sini hari ini.

Jelasnya, stesen siren amaran itu ditempatkan di lembangan di Terengganu terutama di kawasan yang sering dinaiki air dan berhampiran rumah penduduk.


Katanya, daripada jumlah itu, enam siren ditempatkan di Setiu, Hulu Terengganu (lima), Kemaman (empat), Besut (tiga) dan masing-masing satu Kuala Terengganu/Kuala Nerus, Marang dan Dungun.

"Kita juga bercadang menambah lagi beberapa stesen ini pada masa akan datang mengikut keperluan setempat antaranya di kawasan Kemaman dan Besut," katanya.

Tambah Osman lagi, sebanyak RM6.6 juta diperuntukkan untuk penyelenggaran lebih 80 sungai dan alur serta parit di seluruh Terengganu pada 2021 bagi mengurangkan risiko banjir.

Selain itu, JPS Terengganu turut giat menyelenggara dan memastikan stesen-stesen pemantauan banjir di seluruh negeri berada dalam keadaan baik sekaligus berfungsi dengan sewajarnya.

Setakat ini, terdapat 59 stesen hujan dan air, 21 stesen amaran awal banjir dan 7 kamera litar yang siap sedia  menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Usaha berkenaan  ditingkatkan lagi dengan penambahan 34 stesen ramalan dan amaran banjir melalui pelaksanaan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yamg telah siap dan mula beroperasi.

Baki 66 stesen lagi sedang dilaksanakan di bawah Projek PRAB Fasa 2 dan dijangka siap sepenuhnya pada November tahun depan dan Negeri Terengganu bakal mempunyai 159 stesen pemantauan banjir menjelang November 2022.


Tag: