• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

JTDLKM Di Terengganu Catat Hasil Jualan RM1 Juta

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) di Terengganu berjaya merekodkan hasil jualan sebanyak RM1 juta sepanjang tiga bulan pelaksanaanya di negeri ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu, Nukman Hashim berkata, penganjuran program ini juga berjaya menghasilkan penjimatan sebanyak 10 peratus atau RM100,000 melalui penganjuran 44 program JTDLKM  di seluruh negeri sepanjang tempoh itu.

" Program ini bagi memudahkan pengguna setempat mendapatkan bekalan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.

"Lebih 35,000 pengunjung telah mengunjungi semua program yang diadakan di setiap daerah bagi mendapatkan barang seperti ayam, ikan, telur, sayur dan buah-buahan ," katanya selepas meninjau Program JTDLKM di perkarangan Masjid Kampung Kubang Ikan, di sini hari ini.

Nukman berkata pihaknya juga menyasarkan penganjuran sebanyak 120 program JTDLKM sehingga Disember ini  di kawasan pedalaman dan luar bandar di seluruh negeri di Terengganu.

Dalam masa yang sama, beliau melahirkan rasa bangga kerana program JTDLKM semakin mendapat sambutan daripada usahawan.

“Kita dapat lihat program ini semakin mendapat sambutan daripada usahawan apabila berkembang kepada 24 peserta berbanding 13 usahawan pada peringkat permulaan.

Katanya, secara keseluruhannya sehingga kini seramai 714 usahawan terlibat dalam pelaksanaan program tersebut dan mereka tidak dikenakan sebarang caj dikenakan oleh pihak FAMA Terengganu.