• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Juadah Bawaan, Tradisi Unik Kampung Pasir Raja

Kerjasama dan persaudaraan dipupuk dalam tradisi.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 22 November - Setiap kali Maulidur Rasul, seluruh negara meraikannya dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan perarakan.

Bagi penduduk Kampung Pasir Raja, mereka memiliki tradisi tersendiri dalam menyambut Maulidur Rasul setiap tahun.

Pegawai Penyaras Dewan Undangan Negeri ( DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, tidak seperti kampung-kampung lain, setiap kali menyambut Maulidur Rasul, penduduk di kampung itu akan bersama-sama menyediakan juadah bawaan atau lebih dikenali sebagai ‘pot-luck’.

“Tradisi unik ini menguatkan jalinan persaudaran dan semangat saling bekerjasama bagi menjayakannya. Penyediaan makanan secara ‘pot-luck’ ini amat unik bagi sebuah komuniti kampung.

“Makanan dibawa dari rumah masing-masing menjadikan hidangan lauk-pauk yang tersedia berbeza-beza. Secara tidak langsung, penduduk kampung dapat merasai banyak jenis juadah ketika jamuan,” katanya.

Munurutnya, kebanyakan juadah tersebut berasaskan pelbagai ikan sungai, ulam-ulaman yang tiada di tempat yang lain.

Aktiviti sambutan libatkan segenap lapisan masyarakat.
"Sesiapa yang belum pernah datang Pasir Raja, cuba datang. Masakan di sini tersendiri dan unik," katanya kepada pemberita ketika hadir pada sambutan Maulidur Rasul, yang diadakan di Kampung Pasir Raja, semalam.

Tradisi sambutan Maulidur Rasul dengan penyediaan sebegitu sudah lama dan dikekalkan sehingga ke hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa pada tahun ini, sambutan berkenaan telah ditambah baik dengan menyuntik elemen kesedaran dan kebaikan disebalik tradisi sambutan itu.

“Pengertian di sebaliknya lebih besar. Bukan sekadar perarakan dan aktiviti mahupun jamuan semata-mata. Sambutan ini mengingatkan kita betapa pentingnya mencontohi Rasulullah SAW dalam  segenap aspek kehidupan.

"Masyarakat perlu menghidupkan cahaya Islam agar mengundang keberkatan sejajar dengan hasrat kerajaan Negeri Terengganu.

“Ketahuilah perlunya pengimarahan masjid. Jangan dibiarkan masjid sahaja besar, tetapi kosong tanpa kehadiran masyarakat," jelasnya.

Sebagai Penyelaras DUN, Ghazali menegaskan pihaknya akan memberi fokus utama kepada pembangunan modal insan dan kerohanian masyarakat Pasir Raja dengan mengatur pelbagai program yang mendidik masyarakat disulami elemen Islam.


Tag: