• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Jual Jeruk Tampung Kos Rawatan Buah Pinggang

SETIU, 25 Jun - Ungkapan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih sesuai untuk menggambarkan kegigihan seorang ibu yang membuat dan menjual jeruk buah demi menampung kos rawatan buah pinggang dan kelangsungan keluarganya.

Waemah Yeh, 39, atau lebih mesra dipanggil Kak Na berkata, dia mula mengidap penyakit kegagalan buah pinggang sejak bulan Novermber tahun lalu.

Katanya, bermula dari itu dia perlu melakukan rawatan peritoneal dialisis (cuci air) secara berkala.

"Suami bekerja sendiri dan hasil itu cukup untuk menanggung dua orang cahaya mata yang masing-masing belajar di sekolah rendah dan menengah.

"Kami empat beranak menginap di sini, Alhamdulillah dengan hasil jualan jeruk buah ini, bolehlah sedikit sebanyak kos perubatan saya," katanya ketika dikunjungi Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir di Kampung Pak Ba di sini semalam.

Kesukaran hidup yang dihadapi Kak Na tular di Facebook mendapat perhatian Shaharizukirnain dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pak Ba.

Prihatin dengan nasib Kak Na, Shaharizukirnain bersama JPKK dan individu yang menghebahkan kesusahan hidup Kak Na hadir ke kediaman empat beranak itu. 

"Saya akan mengambil serius tentang keluarga ini yang mengusahakan jualan jeruk buah untuk menampung kos dialisis. 

“Hari ini (semalam) saya hadir untuk mengetahui lebih lanjut tentang keluarga ini, pihak kami juga memberi sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang dialami.

"Isu ini juga telah dipanjangkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk permohonan bantuan secara bulanan dengan segera," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memohon agar orang ramai terus melaporkan kepada pihak berwajib termasuk dirinya sekiranya ada golongan yang memerlukan bantuan.

"Saya berterima kasih kepada pengadu dan menyeru orang ramai untuk saling bantu-membantu dan segera melaporkan kepada pihak JPKK jika ada yang layak menerima bantuan," katanya.


Tag: