• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Jualan Keluarga Malaysia Tawar Potongan Harga Sehingga 20 Peratus

KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di setiap daerah yang menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus berjaya membantu masyarakat Terengganu yang terbeban dengan peningkatan harga barang.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, usaha kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat meringankan beban kos rakyat terutamanya dalam pembelian barangan harian.

“Penduduk di Kuala Terengganu tidak terkecuali dengan masalah harga barangan, tentulah program ini dapat beli harga borong sehingga 20 peratus bagi ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan yang telah diproses.

“Harga jauh lebih murah berbanding pasar biasa, misalnya ayam turun kepada RM8 daripada RM9.30.

“Diharapkan agar inisiatif sebegini dapat dipanjangkan lagi dalam masa sehari atau dua lagi kerana pembeli dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau serta menyantuni para pengunjung sempena PJKM di perkarangan hadapan Muzium Negeri, Bukit Losong Terengganu, pagi semalam.

Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNEHP) Negeri Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Tambahnya, antara agensi kerajaan dan rakan strategik dalam kalangan pemain industri yang terlibat pada hari ini ialah KPDNHEP Negeri Terengganu, FAMA, LKIM, NEKMAT, TADC, TKPM Setiu, PENENTU, Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Pasaraya Xiri Sdn Bhd, Pasar Raya Besar Mydin dan HDA Poultry Sdn Bhd.

Terdahulu, Program ini juga dirancang untuk dilaksanakan dua kali sebulan bagi tempoh tiga bulan bermula 4 Disember 2021 merangkumi 222 kawasan parlimen.

Tarikh-tarikh PJKM di Daerah-daerah dalam Terengganu