• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Jualan Kuih Gong Kapas Semakin Meningkat Menjelang Musim Pilihan Raya


Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi, turut memberi kesan kepada jualan kuih-muih di Bazar Kuih Tradisional di Gong Kapas, Kuala Terengganu apabila semakin mendapat sambutan ramai khususnya untuk program mesyuarat cawangan sehingga ke perwakilan parti setiap bahagian.

Tengku Othman Tengku Mohd
Pemilik bazar berkenaan, Tengku Othman Tengku Mohd,50, yang menjalankan perniagaan bersama kembarnya, Tengku Ahmad Tengku Mohd, berkata setiap hari akan ada tempahan dari pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta yang menempah kuih di bazar untuk pelbagai majlis keraian.
“Lebih 100 jenis kuih tradisional dan moden yang terdapat di sini, banyak syarikat dan individu yang telah menempah kuih sekiranya ada mesyuarat dan program rasmi.
"Malah, sambutan juga semakin meningkat terutama untuk sajian di majlis mesyuarat di peringkat kampung sehingga ke peringkat negeri dan daerah (bahagian), apatah lagi menjelangnya PRU tidak lama lagi,"katanya kepada Teganukita.
Katanya, hasil jualan harian lebih kurang RM2,000 sehari, boleh meningkat kepada RM5,000 apabila ada tempahan khas untuk sebarang majlis.
“Kami sentiasa bersedia menerima tempahan, tidak kiralah dalam kuantiti yang sedikit ataupun banyak, kerana perniagaan kami dibuka setiap hari kecuali pada musim Aidilfitri dan Aidiladha.
Katanya, bazar kuih tradisional ini juga telah membuka satu lagi cawangan baharu di Mayang Place, Batu Buruk, sejak tahun lalu.
Tambahnya, walaupun bazar itu sudah ditambah baik kerajaan negeri bagi memberi keselesaan kepada peniaga pada Januari lalu, pihaknya berharap agar disediakan parkir kenderaan di hadapan bazar itu.
“Saya berharap kerajaan dapat menyelesaikan masalah parkir supaya dapat menarik lebih ramai lagi pembeli untuk membeli dan membuat tempahan di sini,”katanya.

Tag: