• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jumlah Mangsa Banjir Terengganu Menurun

KUALA TERENGGANU, 1 Mac - Mangsa banjir di Terengganu mencatat penurunan kepada 16,070 orang petang ini, berbanding 17,742 orang jam 8 pagi tadi, berikutan keadaan cuaca semakin baik.

Semua mangsa membabitkan 4,196 keluarga itu ditempatkan di 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, pengurangan jumlah mangsa itu susulan mangsa di beberapa PPS telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat.

"Setakat jam 2 petang tadi, di Kemaman jumlah mangsa yang berada di 29 PPS adalah seramai 8,535 daripada 2,165 keluarga.

"Setiu pula mencatatkan 494 mangsa daripada 149 keluarga yang dipindahkan di 12 PPS.

"Di Hulu Terengganu pula, 16 PPS masih diaktifkan dengan menempatkan 2,156 mangsa daripada 511 keluarga," ujar kenyataan itu.

Katanya, di Dungun pula seramai 3,106 mangsa daripada 897 keluarga ditempatkan di 29 PPS.

"Jumlah mangsa banjir di Besut mencatatkan 522 orang daripada 139 keluarga dengan 9 PPS diaktifkan.

"Manakala, Kuala Nerus mencatatkan 543 mangsa daripada 150 keluarga yang dipindahkan ke enam PPS," ujarnya.

Tambah kenyataan tersebut, sembilan PPS turut dibuka di Kuala Terengganu yang menempatkan 709 mangsa daripada 184 keluarga.

"Sementara di Marang sebuah PPS dibuka yang menempatkan sebuah keluarga dengan lima mangsa," jelasnya.