• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jumlah Mangsa Banjir Tiga Daerah Di Terengganu Semakin Berkurang

KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 11,699 orang pagi ini berbanding 12,727 malam tadi.

Sehingga jam 10 pagi ini, kesemua mangsa daripada 2,982 keluarga masih ditempatkan di 53 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.

Pada 10 malam tadi, semua mangsa yang terdiri daripada 3,364 keluarga dipindahkan ke 53 PPS di daerah sama.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata Kemaman kekal menjadi daerah yang paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa seramai 9,314 orang.

Katanya, jumlah itu membabitkan 2,310 keluarga di 27 PPS berbanding 10,452 mangsa daripada 2,575 keluarga di 26 PPS.

"Di Dungun, seramai 2,297 mangsa membabitkan 651 keluarga ditempatkan di 24 PPS.

"Dua PPS masih dibuka di Hulu Terengganu bagi menempatkan 88 mangsa daripada 21 keluarga," ujarnya.

Che Adam berkata, ketika ini cuaca mendung dan ada kalanya hujan di beberapa tempat manakala paras sungai menunjukkan trend menurun di sebelah hulu.