• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jurulatih Ragbi Terengganu Meninggal Dunia

KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Ketua Jurulatih Pasukan Ragbi Terengganu (TRT), Izaimi Zainuddin, 48, meninggal dunia akibat jangkitan kuman di Hospital Kuala Lumpur (HKL), 4.45 petang semalam.

Yang Dipertua Persatuan Ragbi Terengganu (PRT), Amir Amri Muhammad berkata, Izaimi telah dimasukkan ke wad HKL pada Selasa lalu sebelum menjalani pembedahan kerongkong kelmarin.

"Kematian Allahyarham satu kehilangan besar khususnya buat pasukan ragbi Terengganu kerana arwah banyak menyumbang tenaga, idea dalam membangunkan sukan itu.

"Allahyarham juga seorang jurulatih yang disegani selain sudah banyak membantu kejayaan pasukan negeri sehingga bergelar antara salah satu kuasa ragbi dalam negara," jelas Amir Amri ketika dihubungi semalam.

Allahyarham Izaimi, 48, yang juga seorang guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu adalah watak penting membawa Terengganu menjulang Piala Agong pada 2019 selepas mengalahkan Sabah pada perlawanan akhir.

Beliau juga melatih skuad Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu sejak 2017 selain pernah membimbing pasukan Bawah-17 (B-17) dan Bawah-15 (B-15) negara pada tahun 2011 dan 2016.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor pada pagi ini.

 

 

 

 


Tag: