• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Jurunikah Tokoh Maulidur Rasul Terengganu

KUALA TERENGGANU, 18 Oktober - Jurunikah yang juga pesara guru, Yassin Salleh diumumkan sebagai tokoh Maulidur Rasul Terengganu tahun ini.

Yassin, 79, dilahirkan di Kampung Banggol Cempedak, Serada dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Serada dan menyambung pengajian peringkat menengah di Pondok Durian Guling.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Darul Uloom Deoband, Saharanpur Uttar Pradesh, India dalam bidang syariah dan undang-undang.

Pada 1970, beliau menyambung pengajian ijazah sarjana muda syariah di Universiti Al-Azhar di Mesir di samping mengambil diploma pendidikan di Universiti Ain Shams di negara sama sebelum pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama bermula pada 1974.

Bapa kepada tiga anak itu diumumkan sebagai tokoh Maal Hijrah oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad sempena Pelancaran Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri, yang diadakan secara dalam talian, semalam.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM12, 000, plak dan sijil penghargaan. 

Dalam majlis sama, Anugerah Tokoh Dakwah pula diberikan kepada Mohd. Suhaimi Daud dari Dungun manakala Mohd. Draman pula dinobatkan sebagai Tokoh Keluarga Lengkap Mithali dan Hasnah Abdullah (Tokoh Keluarga Tunggal Mithali).

Bagi Anugerah Kebersihan dan Keceriaan Masjid, johan diraih Masjid Kubang Ikan, Kuala Terengganu diikuti Masjid Hadhari, Besut (kedua) dan Masjid Paya Pelandang, Dungun (ketiga).

Untuk surau pula, tempat pertama dimenangi Surau Taman Baiduri Geliga, Kemaman manakala Surau Nurul Amin Taman Golf, Kuala Nerus (kedua) dan Surau Al-Iman Losong, Kuala Terengganu (ketiga).

Bagi kategori tanah perkuburan, pemenangnya ialah Tanah Perkuburan Pulau Manis, Kuala Terengganu (pertama); Tanah Perkuburan Kampung Kayu Kelat, Besut (kedua) dan Tanah Perkuburan Masjid Tok Gebok, Hulu Terengganu (ketiga)