• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kadar Baharu Had 'Kifayah' Hujung Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 30 Jun- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dijangka akan melaksanakan kadar had kifayah (suatu garisan kecukupan bagi seseorang individu atau bagi sesebuah keluarga) baharu bagi memenuhi keperluan golongan asnaf di Terengganu hujung tahun ini.

Memetik laporan Sinar Harian pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan memaklumkan, Jawatankuasa Penilaian Dapatan Kajian Penentuan Had Kifayah Fakir Miskin di negeri ini telah ditubuhkan pada 31 Mei lalu bagi menentukan kadar baharu yang menepati keperluan perbelanjaan asasi golongan berkenaan.

"Kajian mengenai had kifayah telah dijalankan pada 2019 dengan kerjasama pasukan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) termasuk pakar dalam bidang berkenaan.

"Rentetan itu, kita telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menambah beberapa metodologi baharu untuk mengkaji pindaan yang akan dibuat berdasarkan keperluan semasa.

"Kita jangka dalam tempoh enam bulan lagi kita akan dapat keputusan bagi kadar had kifayah baharu untuk Negeri Terengganu dan dijangka akan dilaksanakan hujung tahun ini," ujarnya.

Menurutnya, kadar baharu had kifayah perlu diteliti berdasarkan peningkatan kos sara hidup, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan (inflasi) serta mengambil kira beberapa faktor lain.

"Secara umumnya, apabila berlaku peningkatan kos sara hidup, orang yang miskin akan berubah menjadi fakir.

"Kita telah bersedia dengan keadaan itu, sebab itulah kita beri tumpuan serta komitmen untuk meminda had kifayah. Apabila pinda had kifayah bermakna kemungkinan jumlah penerima akan bertambah atau jumlah penerima sama dan bantuan bertambah. Semua perkara itu akan diambil kira," katanya.