• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Di Terengganu Tertinggi Sejak 10 Hari

KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Terengganu terus mencatatkan kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 tertinggi dalam negara lebih 10 hari sejak 18 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi laman Facebooknya, berkata negeri Terengganu mendahului senarai dengan 1.33 diikuti Kelantan (1.26) serta Sabah dan Pulau Pinang (1.25).

Katanya, R-naught COVID-19 di Malaysia turut merekodkan peningkatan pada Rabu, dengan kadar 1.16, berbanding 1.14 pada hari sebelumnya.

“Sembilan lagi negeri lain mencatat kadar di antara 1.04 hingga 1.22 iaitu Sarawak, Melaka, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Johor dan Kedah.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Sementara itu, dua lokaliti di Kemaman akan dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu ini sehingga 13 Ogos setelah diumumkan Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Ini melibatkan Kampung Padang Kubu, Mukim Tebak di daerah itu," katanya dalam satu kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.