• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Melebihi RT Negara

KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Terengganu merekodkan kadar kebolehjangkitan (RT) COVID-19 tertinggi iaitu 1.31 manakala Malaysia terus catat penurunan untuk hari kelima berturut-turut dengan angka terbaharu, 1.09.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri ini turut mencatatkan sejumlah 171 kes harian virus baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes positif 13,158.

Menurutnya, selain Terengganu, tiga lagi negeri yang turut merekodkan nilai RT tertinggi adalah Kedah (1.25), Sabah (1.21), Pulau Pinang (1.21) dan Johor (1.20).

"Manakala negeri pantai timur lain seperti Pahang (1.19) dan Kelantan (1.18)," katanya menerusi kenyataan di Twitter rasminya, semalam.

Katanya, berdasarkan Model SEIR Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian Covid-19, nilai RT negara akan meningkat kepada 1.2 dengan kes harian baharu mencapai 13,000 jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Terdahulu, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini adalah 0.81 pada 3 Mac lalu manakala yang tertinggi dicatatkan 1.21 pada 23 Mei.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.