• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kadar Sewa Baharu : MDM Rancang Naik Taraf Pasar di Marang

Oleh : Fatimah Din 

MARANG , 2 Oktober - Majlis Daerah Marang (MDM) merancang untuk menaik taraf Pasar Marang bagi memastikan keselesaan setiap peniaga dan pengunjung berada pada tahap terbaik.

Ketua Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Majlis Daerah Marang, Mohd Khalid Awang berkata, antara usaha yang sedang digerakkan ialah pembinaan kiosk di tepi pasar bagi memberi peluang pada rakyat berniaga di masa akan datang.

"MDM mahu membuat pembaharuan itu selepas kami menaikkan kos sewaan.

"Hasil sewaan berkenaan perlu dipulangkan semula kepada rakyat dan peniaga, manfaatnya kepada masyarakat seperti digunakan untuk bayaran air, elektrik, kebersihan pasar dan sebagainya.

"Sebenarnya, pihak kami telah pun membuat kajian dan mengadakan beberapa kali perbincangan bersama Ahli Majlis tentang tindakan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Marang di pejabatnya baru-baru ini.

Mengulas mengenai kenaikan kos sewa, beliau berkata sewa pasar di Marang di bawah seliaan MDM masih antara yang terendah di Malaysia sejak sewaan dibuka pada tahun 2000.

"Ini baru kali ini pihak kami menetapkan kadar baharu, sebagaimana saya kata pun, manfaatnya tetap akan dipulangkan kepada rakyat.

"Sebelum kita telah memaklumkan untuk menaikan sewa kepada RM100 bagi Pasar Wakaf Tapai untuk jenis petak perniagaan ikan, sayur manakala petak daging dinaikkan kepada RM50.

"Begitu juga sewa di Pasar Bukit Payong naik kepada RM160 bagi petak ikan, RM120 bagi jenis petak kuih dan RM160 bagi jenis petak daging dan kuih.

"Manakala di Pasar Marang dikenakan kadar sewaan RM100 untuk semua petak  ikan, kuih, daging ayam kecuali sayur sahaja kadar sewaannya RM100-120," jelasnya.

 

 


Tag: