• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Kadar Vaksinasi Di Terengganu Meningkat Dua Kali Ganda

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – Terengganu mencatatkan peningkatan hampir dua kali ganda dalam pemberian dos vaksin harian berbanding minggu lepas, menurut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV).

Berdasarkan sumber Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), jumlah pemberian dos vaksin pada kelmarin adalah sebanyak 28,479 suntikan terdiri daripada 19,825 dos pertama dan 8,654 dos kedua.

Ia merupakan kenaikan berbanding sejumlah 10,179 dos pada 9 Ogos lalu, menerusi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, Terengganu yang kini mempunyai 25 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) merupakan negeri ketiga tertinggi dalam suntikan vaksin pertama dibawah Johor (33,092 dos) dan Sabah (30,602 dos).

“Kerajaan negeri bersama pelbagai pihak sedang ‘all out’ memastikan PICK diteruskan secepat dan sebaik mungkin melalui pelbagai PPV seperti program ‘Outreach’, Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).

“Jangkaan pada hujung bulan ini, kita akan mencapai 40 peratus (808,400 orang) lengkap vaksinasi bagi populasi dewasa dan mencapai nilai ambang salah satu indikator nilai ambang bagi peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sekitar Ogos juga, negeri ini akan menerima sebanyak 583,120 dos vaksin yang merupakan lagi berita baik buat masyarakat supaya dapat mencapai kelompok imuniti,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, petang tadi.

Secara keseluruhan, jumlah kumulatif pemberian dos pertama kini mencecah 41.2 peratus daripada jumlah populasi (518,691 dos pertama) manakala 24 peratus telah lengkap suntikan kedua-dua dos.