RPMM Tok Jembal Siap 95 Peratus, Bakal Diserah Kepada Penerima
KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Kadar zakat fitrah bagi negeri Terengganu tahun ini kekal RM7 atas perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu dinilai berdasarkan harga gred Super Tempatan di pasaran selepas mengambil kira nilai bersamaan dengan beras lima peratus hancur.
"Kadar bayaran zakat fitrah itu kekal sejak 2016 dan kita melantik seramai 966 amil bertauliah untuk memudahkan masyarakat Islam membuat bayaran.
"Berdasarkan jumlah umat Islam di negeri ini, kita mensasarkan kutipan zakat fitrah tahun ini adalah RM6.9 juta," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penetapan kadar zakat fitrah di bilik Mesyuarat MAIDAM, Kompleks Seri Iman, di sini, hari ini.
Yang turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin.
Shaikh Harun berkata, umat Islam di negeri ini diminta membuat bayaran secara tunai kepada amil yang ditauliah.
Katanya, berdasarkan Seksyen 40, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001, mereka yang tidak bertauliah dan didapati bersalah memungut zakat serta fitrah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
"Umat Islam yang membuat bayaran zakat dan fitrah kepada mereka yang tidak bertauliah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 41, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.