• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kadar Zakat Fitrah RM8, RM10 Dan RM24 Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 Mac  - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah zakat fitrah bagi umat Islam di negeri ini pada tahun ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penetapan itu adalah RM8, RM10 dan RM24 seorang mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari.

"Mereka yang makan nasi daripada beras super special tempatan perlu membayar zakat fitrah tidak kurang RM8 seorang.

"Bagi mereka yang menggunakan jenis beras selain daripada itu, kadar zakat fitrah adalah RM10 seorang untuk beras super import (siam) dan RM24 seorang untuk beras jenis premium seperti basmathi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Multaqa Amil Zakat Negeri Terengganu 2023 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seramai 954 amil telah dilantik untuk mengendalikan pungutan zakat fitrah sama ada melalui sistem e-Amil atau pungutan secara biasa bagi membantu melancarkan pengurusan zakat di Terengganu.

Tambahnya lagi, bermula 1 Ramadan ini, Maidam turut memperkenalkan konsep bayaran secara atas talian yang dipanggil e-Amil selain pembayaran secara konvensional.

Jelas beliau, antara ciri sistem tersebut ialah resit rasmi zakat akan dihantar secara digital kepada pembayar menerusi telefon bimbit dan e-mel.

Shaikh Harun juga berkata, pihaknya menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM10 juta pada tahun ini, meningkat RM2 juta berbanding RM8 juta yang berjaya dikutip pada tahun lepas.

"Peningkatan ini berdasarkan tiga kadar bayaran zakat fitrah yang ditetapkan pada tahun ini dengan rata-rata umat Islam kita jangka akan bayar antara RM12 hingga RM15 seorang," katanya.