• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kaedah Inokulasi Dalam Tempoh Percubaan

HULU TERENGGANU, 28 November - Kaedah inokulasi atau penyuntikan pada batang pokok getah yang mampu meningkatkan pendapatan penoreh kini dalam tempoh percubaan dan akan diperkenalkan oleh kerajaan setahun lagi.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kaedah berkenaan akan membolehkan mereka yang terbabit dalam sektor berkenaan tidak lagi terbeban kerana aktiviti torehan akan dapat dilakukan walaupun pada waktu hujan.

"Kalau mereka sendiri hendak pasang alat berkenaan mungkin harganya di antara RM10 atau RM20 untuk setiap satu, jadi pihak kementerian bersedia untuk membantu mereka.

"Mengenai harga lantai kita akan bincang dalam parlimen dengan Kementerian Kewangan dan kementerian berkaitan seperti Kementerian Pembangunan Luar bandar yang menguruskan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi mencari kaedah menaikkan harga lantai kaedah skrap," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jejajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Kampung Kepah, di sini, semalam.

Dalam majlis berkenaan, pekebun kecil menerima sumbangan Majlis Getah Malaysia (MRC) di bawah program Penyerahan Bantuan Prihatin MRC termasuk alat peranti tablet bersama pelan data internet.

Kata Zuraida, program jelajah yang diadakan itu bertujuan untuk menyampaikan aktiviti-aktiviti agensi di bawah kementerian bagi membantu kumpulan sasaran melibatkan pekebun kecil tersebut.

"Antara objektifnya adalah untuk menunjukkan bahawa Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK) dan juga Lembaga Getah Malaysia dan juga Majlis Getah Malaysia sangat prihatin dengan nasib yang dialami para penoreh getah.

"Kita juga turut menyelami cara hidup mereka dimana kita hendak beri pengiktirafan di atas sumbangan mereka kepada ekonomi komoditi negara.

"Hasil melalui getah telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara sejak sebelum mereka hingga sekarang getah masih lagi menjadi sumber keenam terbesar nilai eksport kepada luar negara," ujarnya.

Pada program itu juga, pekebun kecil diberikan taklimat oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengenai Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), sistem RRIMniaga, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) serta pendedahan berkaitan penyakit Pestalotiopsis.

Selain itu, sesi dialog dengan pekebun kecil telah diadakan pada pertemuan tersebut bagi berkongsi segala maklumat projek terkini kerajaan dan kemajuan penyelidikan serta teknologi dalam bidang agrikomoditi yang boleh dimanfaatkan oleh pekebun.