• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kaji Teknologi Kurangkan Kos Pertanian - Ahmad Amzad

KUALA TERENGGANU, 28 November – Satu kajian bagi mengurangkan kos tanaman dan pertanian bakal dijalankan melalui penyelidikan terhadap inovasi baja tempatan serta racun makhluk perosak.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya mengambil langkah itu supaya kenaikan harga makanan dapat dikawal dan tidak menjejaskan rakyat.

Katanya, ia merupakan sebahagian usaha MOSTI membantu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi di bawahnya meningkatkan hasil produk tani dan mengurangkan kos dengan lebih efektif.

 "Antara kajian itu ialah penggunaan baja tanaman menggunakan teknologi nano yang mempunyai kelebihan. Kita mengenal pasti antara masalah kenaikan harga makanan ialah bekalan baja dan racun makhluk perosak.

“Semalam kita bincang mengenai penggunaan baja teknologi nano. Walaupun harganya agak tinggi tapi kadar penggunaan sangat rendah. Semburan tidak perlu dilakukan banyak kali kerana ia (nutrien) akan diserap perlahan-lahan.

"Selain itu, penggunaan teknologi melalui Agensi Angkasa Malaysia untuk merancang kerja-kerja pembajaan dan penyemburan racun dengan cara lebih efektif menggunakan teknologi 'remote sensing',” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru peringkat daerah Kuala Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini, semalam.

Turut hadir,  Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Salim Ab Ghani.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu turut memberitahu, pihaknya sedia membantu mengukuhkan sekuriti makanan negara seiring dengan peranan MOSTI menerajui teknologi dan inovasi terkini untuk meningkatkan daya saing global negara.