• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kajian Buktikan Pentadbiran Kerajaan Negeri Berjaya

KUALA TERENGGANU, 19 Jun – Kejayaan kerajaan negeri telah dibuktikan melalui kajian yang dihasilkan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dan beberapa penyelidik yang lain.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali berkata kejayaan itu juga dapat dibuktikan melalui pelancaran Buku Penyelidikan Strategik TSIS 2023 serta Buku Merealisasi Terengganu Maju Berkat Sejahtera.

“Kerajaan Negeri pada hari ini menekankan aspek kajian dan penyelidikan berkualiti dalam membangunkan sesebuah dasar dan menghasilkan suatu keputusan.

“Bagi kerajaan, kaedah seumpama kajian dan penyelidikan ini dapat memberikan gambaran situasi sebenar berkenaan keperluan rakyat.

“Secara lebih mendalam dan terperinci melibatkan pelbagai isu sosial, ekonomi, dan politik yang sebenarnya mempengaruhi kehidupan mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakn Program Perasmian Simposium Kajian Pembangunan Terengganu Sejahtera & Pelancaran Buku Penerbitan Penyelidikan TSIS 2023 bertempat di Duyong Marina di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah.

Tambah Yahaya, kajian dan penyelidikan juga dapat membantu pihak kerajaan untuk mengenal pasti aspek yang memerlukan perubahan serta peningkatan kualiti pentadbiran sebuah Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, selain dapat mengetahui kelemahan dan cabaran semasa, suatu tindakan susulan yang sesuai dapat diambil.

"Pembuatan sesuatu dasar dan strategi kerajaan yang efisyen sebenarnya bermula dengan kajian berkualiti yang mampu membekalkan ketepatan maklumat.

"Dari aspek pengagihan sumber kerajaan seperti kewangan, tenaga kerja, dan aset pula, penglibatan penyelidikan mampu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam pengurusan sumber.

“Apa yang lebih utama, wasilah penyelidikan ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan akauntabiliti dan transparansi pentadbiran Kerajaan Negeri," ujarnya.

 


Tag: