• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kajian Impak COVID-19 Di Terengganu Dibentangkan

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Dapatan kajian impak pandemik COVID-19  di Terengganu dan langkah baharu yang perlu dilaksanakan pelbagai pihak untuk sektor perniagaan khususnya dalam mendepani wabak berkenaan telah dibentangkan dalam satu majlis yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.


Pembentangan berkaitan dengan Laporan Tinjauan Khas COVID-19 Terhadap Ekonomi Dan Individu telah disampaikan oleh Ketua Perangkaan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin manakala Kajian Impak COVID-19  Ke Atas Sosioekonomi (Individu Dan Perniagaan) Di Terengganu pula oleh Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu, Prof Dr. Nur Azura Sanusi.


Manakala pembentangan bertajuk kajian Impak Bisnes Terengganu disampaikan oleh yang Dipertua Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Melayu, Ahmad Izani Abd. Ghani.

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelbagai cadangan dan permasalahan yang ditimbulkan pada pembentangan tersebut memerlukan tindakan lanjut daripada pihak berkaitan.


“Secara keseluruhannya, pembentangan ini memberikan maklumat penting kepada kita termasuk data, permasalahan yang dihadapi rakyat serta kesan COVID-19 kepada sektor peniagaan negeri.


“Justeru, sebagai ‘policy maker’ kita berperanan untuk memperhalusi setiap cadangan yang diutarakan oleh para pembentang dengan mendahulukan apa yang terpenting demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Pembentangan Dapatan Kajian Impak Pandemik COVID-19 Di Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.


Turut hadir, barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Negara serta ketua-ketua jabatan.


Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pembentang yang sudi berkongsi maklumat yang penting mengenai COVID-19 kepada kepimpinan kerajaan negeri yang berperanan besar untuk membangunkan  negeri.
 


Tag: