• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kakitangan INSTEP Sumbang  RM8,000 Bantu Persiapan Murid

KUALA NERUS, 20 Mac - Kakitangan Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) menyumbangkan RM8,000 bagi membantu persiapan murid-murid  sempena Program Kembali ke Sekolah 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim berkata, sumbangan menerusi Program Kembali ke Sekolah (BTS) 2022 itu merupakan hasil kolaborasi antara Badan Kebajikan Islam PETRONAS (BAKIP) dan Jabatan Komunikasi Strategik INSTEP yang melibatkan lapan buah sekolah rendah di kawasan Batu Rakit, Terengganu.

Katanya, bantuan ini merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan INSTEP.

“Sekolah yang terpilih bagi bantuan tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Besi, SK Batu Rakit, SK Darat Batu Rakit, SK Maras, SK Pechah Rotan dan SK Bukit Wan, dari daerah Kuala Nerus. Manakala dari daerah Setiu, ialah SK Lembah Bidong dan SK Merang.

“Antara sumbangan tersebut ialah peralatan bantu mengajar untuk kegunaan kakitangan sekolah seperti mesin pencetak, mesin projektor LCD, mesin lamina dan papan putih. 

“Selain daripada itu, turut disampaikan peralatan alat tulis untuk kegunaan pelajar serta bahan bacaan untuk perpustakaan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu dalam satu majlis ringkas, Pengurus Kanan Perundingan Pembelajaran INSTEP, Muhammad Asri Omar menyampaikan sumbangan kepada guru besar lapan sekolah terlibat dalam majlis ringkas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Nerus.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Kamarudzaman Daud dan Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Jawahil Abdullah. 

Idris juga berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan beban keluarga dan sekolah dalam menyediakan kelengkapan persekolahan bagi sesi pembelajaran 2023 disamping menyokong agenda kemenjadian murid sempena permulaan sesi persekolahan kali ini.

Tambah beliau, pihaknya juga menyerahkan sumbangan berbentuk peralatan sukan seperti bola sepak dan bola keranjang disamping jersi sukan dan seluar trek sukan lengkap dengan kit pertolongan cemas untuk kegunaan pasukan sekolah.

“Kami berharap supaya sumbangan ini dapat membantu meningkatkan motivasi mereka untuk terus mencipta kecemerlangan di dalam bidang pendidikan dan ko-kurikulum,”katanya.