• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kakitangan JHEAT Perlu Kekal Imej Baik



Oleh: Syaharulhafizi Sulong
Kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) perlu meneruskan imej baik jabatan dan meningkatkan pencapaian sedia ada.
Pengerusi  Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, kita perlu bersungguh-sungguh bekerja sesuai dengan ketetapan Al-Quran dan hadis.
"Saya berharap pejabat agama ini mampu menjadi contoh dan terkehadapan dari segi pengurusan, pentadbiran serta teknologinya.
"Apa-apa sahaja yang baik dan memudahkan rakyat terutama inovasi-inovasi yang terkini, kita cuba masukkan ke dalam operasi.
"JHEAT mesti terkehadapan dalam semua perkara kerana Allah taala mengasihi hambanya yang bekerja dengan cemerlang,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam sesi Taklimat Penerangan Peranan JHEAT di Dewan Tingkat Empat, bangunan JHEAT, semalam.

Menurutnya, pujian Menteri di Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini ke atas JHEAT, mesti dijadikan motivasi bagi JHEAT memberikan lebih  usaha untuk memastikan isu-isu yang berkaitan diuruskan dengan lebih berkesan.
Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung juga menekankan bahawa kerajaan negeri secara asasnya akan mengekalkan perkara yang baik serta memperelokkannya lagi dan membuang perkara yang buruk bagi kepentingan rakyat.
“Saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan kepada kerajaan negeri yang baharu untuk kepentingan agama Islam, rakyat serta negeri.
“Secara umumnya, sudah tentu pegawai-pegawai kerajaan mesti mengikuti serta melaksanakan dasar-dasar kerajaan dari masa ke masa, ujarnya.
Sementara itu menurutnya, kelulusan tauliah akan dipermudahkan dan dianugerahkan kepada mereka yang benar-benar layak bagi menjamin ketulenan ilmu.
Ini kerana beliau berhasrat memastikan masjid-masjid dipenuhi dengan majlis ilmu dan tidak mahu sebarang aduan tiada tenaga pengajar. Sudah pasti Terengganu tidak kurang orang yang berilmu dalam bidang agama.
Turut hadir ke taklimat yang dibentangkan oleh Haji Azam Awi, Timbalan Pengerusi  Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.
Mereka kemudiannya dibawa melawat relau pembakaran dan pelupusan al-Quran di tingkat bawah bangunan JHEAT.





Tag: