• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

JPJ Kumpul Dana Sumbang Makanan Untuk Gelandangan

KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu telah menjalankan satu inisiatif dan pendekatan cakna dalam membantu golongan gelandangan di bandar raya itu, baru-baru ini.

Menurut kenyataan di Facebook rasminya, unit operasi melalui Team Bravo mengagihkan pek makanan kepada 10 orang golongan tersebut di Terminal Bas Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT).

“Bantuan ini bertujuan membantu mereka yang memerlukan dalam bentuk makanan terutama ketika pandemik COVID-19.

“Sumbangan ini adalah hasil daripada program Gerobok Rezeki yang dilancarkan sebelum ini oleh Pengarah JPJ Negeri melalui sumbangan kakitangan JPJ sendiri.

“Selain dari program CAKNA gelandangan, hasil bantuan turut disalurkan di sekitar Kuala Terengganu berupa bahan keperluan harian seperti beras, tepung, minyak masak, susu dan gula,” katanya.

Tambahnya, pihaknya turut mengingati orang awam tentang rezeki kita ada hak orang lain.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah turut mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak untuk berkongsi buah fikiran dalam membantu golongan gelandangan di sini.

“Insya-Allah, jika usaha ini digembleng bersama, saya cukup yakin kita mampu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik,” jelasnya.