• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kakitangan Positif COVID-19, UniSZA Ditutup

KUALA NERUS, 4 Oktober - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan ditutup sementara bermula esok hingga 7 Oktober ini selepas seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19 semalam.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, penutupan Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut itu juga bagi membolehkan proses disinfeksi dilakukan secara menyeluruh.

Katanya, sebagai langkah kawalan pengurusan UniSZA turut memutuskan semua kakitangannya bekerja dari rumah.

"Arahan ini melibatkan semua operasi pentadbiran, kecuali staf yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential services) seperti keselamatan, kesihatan, kewangan, hal ehwal pelajar dan kolej kediaman tertakluk kepada kelulusan naib canselor.

"Kebajikan pelajar yang masih berada di dalam kampus akan diuruskan oleh pihak universiti.

"Sepanjang tempoh penutupan, pengajaran dan pembelajaran (PDP) tetap diteruskan seperti biasa secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasan Basri.

Menurutnya, staf yang disahkan positif terbabit mempunyai sejarah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu dengan menaiki kapal terbang sama yang dinaiki oleh seorang individu yang pulang dari Sabah dan disahkan positif COVID-19.

"Sejurus UniSZA mendapat maklumat itu, staf yang terlibat diarahkan membuat saringan segera di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan keputusannya positif.

"Seramai 14 staf UniSZA telah dikenalpasti sebagai kontak rapat dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," jelasnya.

Tambah Hasan Basri, semua warga UniSZA yang mempunyai kontak dengan staf yang dikuarantin telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah selama dua minggu bermula 2 hingga 15 Oktober ini bagi mengelakkan penularan.

 

  


Tag: