• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Kali Pertama Berdepan Banjir Besar'

KUALA TERENGGANU, 4 Disember – Banjir yang berlaku tahun ini jauh lebih besar berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana kawasan yang jarang dinaiki air turut terjejas.

Salah seorang mangsa banjir, Hasnah Che Embong, 56 yang tinggal bersama anaknya menyifatkan kenaikan paras air di Kampung Batu Enam Chendering tahun ini sangat luar biasa.

"Ini kali pertama mak cik dipindahkan dari rumah, sepanjang 56 tahun hidup tidak pernah lagi, banjir bulan lepas juga tidak berpindah.

"Demi keselamatan nyawa, terpaksa tinggal barang-barang, habis rosak peti sejuk, kabinet, mesej basuh dan banyak lagi.

"Kereta dan motosikal pun tak selamat kerana air naik tinggi bermula sekitar waktu maghrib. Kemudian lepas isyak penyelamat datang mari ambik mak cik," katanya kepada pemberita UPDI di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering semalam.


Menurutnya lagi, walaupun sedih memikirkan barangan di rumah, dia dan anaknya tetap bersyukur kerana dibantu banyak pihak.

"Alhamdullilah, tempat PPS ini cukup lengkap semua keperluan dan anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak lain amat membantu rakyat yang tengah susah sekarang ini," tambahnya.