• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kami Hubungi Pengadu, Tapi Diberitahu 'Salah Nombor' - Duyong Marina Resort

KUALA TERENGGANU, 10 November - Duyong Marina & Resort masih cuba menghubungi pelanggan yang menularkan pengalaman buruknya di resort berkenaan untuk siasatan lanjut.

Pengurus Besar Duyong Marina & Resort, Wan Faizul Wan Abbas berkata, berdasarkan maklumat pihaknya, hanya satu pelanggan yang menginap bagi tempoh lima hari empat malam sepanjang Oktober hingga kini.

"Pelanggan ini menginap di bilik Eksekutif Deluxe berharga RM380 semalam, dari 14 hingga 18 Oktober dan beralamat dari Kedah. Kami telah hubungi nombornya tetapi yang menyambut panggilan itu menyatakan kami salah nombor.

"Kalau boleh kita dapat hubunginya, kita ingin melanjutkan siasatan dan jika benar, pihak kami bersedia untuk 'refund' semula," katanya ketika ditemui media selepas perasmian buku Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu dilancarkan untuk memulihkan pelancongan Terengganu pada pasca Covid-19.

Jelasnya, berdasarkan rekod tempahan, pihak resort tidak menerima sebarang rungutan atau aduan sepanjang pelanggan tersebut menginap di sana.

"Cuma isu lambat daftar masuk ada direkodkan dan beliau masuk ke bilik pada jam 3.40 petang berikutan penggunaan kapasiti bilik yang penuh berturut-turut.

"Kebiasaanya, sebelum bilik diberikan 'front office' akan periksa terlebih dahulu jadi, saya anggap ini kes terpencil. Kerana itu, kami cuba menghubungi mereka untuk menyiasat, jika betul perkara itu berlaku kita mahu minta maaf dan bersedia 'refund'.

"Kita kesal kerana beliau (pelanggan) tidak hubungi kita terus semasa masih menginap dan kita akan teliti tindakan seterusnya yang akan saya maklumkan dalam kenyataan rasmi pihak kami nanti," katanya.

Wan Faizul juga memaklumkan, beliau masih menunggu laporan penyelenggaraan tentang kerosakan bilik sebagaimana yang dinyatakan.

Tambahnya, daripada sebanyak 87 bilik daripada 97 bilik resort yang ada dalam keadaan baik dan boleh ditempah.

"Biasanya, jika ada kerosakan yang teruk kita akan kategorikan bilik sebagai OOO iaitu 'out of order'," katanya.

Terdahulu, pemilik Facebook Rania Adira membuat hantaran menceritakan pengalaman buruknya di Duyong Marina & Resort di Facebook Hotel Review Malaysia yang menarik perhatian ramai, semalam.


 


Tag: