• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Kami Juga Penat, Rindu Keluarga'

KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Di kala netizen mula meluahkan rasa penat kerana terpaksa menjalani hidup dengan penuh kesukaran termasuk beberapa Perintah Kawalan Pergerakan berbeza, petugas kesihatan turut mengakui perkara sama namun menganggap ia sebagai pengorbanan untuk 'memerdekakan' negara.

Doktor Pakar Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Nurul Ashikin Adnan berkata, letih tidak patut dijadikan alasan ketika ini sebaliknya semua pihak perlu bekerjasama dan cekal dalam membendung pandemik COVID-19.

"Rakyat merasa letih kerana tidak boleh melakukan perkara yang mereka selalu buat sebelum ini seperti tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri.

"Kami juga tidak boleh lari daripada perasaan demikian, namun perlu teruskan juga kerana ia merupakan amanah dan jalan untuk kita selamatkan negara, walaupun jelas kepenatan pada setiap petugas, malah berisiko lebih tinggi untuk menjangkiti ahli keluarga apabila pulang ke rumah.

"Sebagai manusia biasa sebahagian kami juga turut merindui ahli keluarga masing-masing, kerana kebanyakan bukan orang Terengganu, ada yang dah dua tahun tidak menemui keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di HSNZ, di sini hari ini.

Mengulas mengenai pesakit COVID-19, Dr Nurul Ashikin berkata, merawat individu positif pandemik merupakan detik yang sangat sukar dan mencabar dalam hidup terutama apabila berhadapan dengan mereka yang berada di ambang kematian.

"Terutama di waktu kita hendak memaklumkan kepada ahli keluarga pesakit bahawa keadaan dah semakin teruk, ia bukan mudah buat kami.

"Jika mereka boleh diselamatkan itu merupakan perkara yang sanggat mengembirakan. Tetapi perlu diingat virus ini bukan sesuatu yang biasa dan tidak mudah," ujarnya.

Oleh kerana itu katanya sangat wajar untuk setiap anggota masyarakat mengikuti saranan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah agar setiap rakyat melakukan 'self lockdown'.

"Bantulah kami petugas kesihatan, kalau tidak ada keperluan jangan keluar terus mematuhi SOP, serta pemakaian topeng dan penjarakkan sosial perlu diamalkan jika perlu keluar untuk menyelesaikan perkara penting.

"Kerana itu merupakan langkah yang terbaik untuk dihentikan penularan wabak ini," jelasnya.

 


Tag: