• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kampung Machang Bakal Dapat Kemudahan Internet

HULU TERENGGANU, 22 Februari -Penduduk di Kampung Machang, Ajil kini boleh menarik nafas lega kerana bakal menikmati liputan internet 4G selewat-lewatnya tiga bulan lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, menara telekomunikasi yang menelan kos sebanyak RM500,000 setinggi 60 meter itu yang dibina di Kampung Machang sudah siap pembinaannya oleh FGV Prodata.

"Menara itu telah diserahkan kepada pihak Maxis untuk mereka memasang peralatan dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan lagi. 


"Ia akan memberi kemudahan komunikasi sekurang-kurang 100 buah penempatan disini.Selain itu, 25 alat pemancar di menara telekomunikasi sedang dinaik taraf.

"Kita harap dengan penambahan menara telekomunikasi baru dan naik taraf alat pemancar, akan memberi liputan internet yang lebih baik di Kampung Machang," katanya.

Dr Mamad bercakap kepada pemberita pada lawatan tapak bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan tiga syarikat telekomunikasi di Kampung Machang, hari ini.


Tambah Dr Mamad lagi, tiga syarikat telekomunikasi akan bekerjasama dalam memberi kemudahan jalur lebar disini iaitu pihak Maxis, Celcom dan Digi.

"Ketiga tiga Syarikat Telco ini sedang dalam percubaan dengan peralatan baru yang sekarang ini sedang duji di negeri Kelantan. Insya Allah kita mengharapkan kemudahan ini akan memberi kemudahan kepada rakyat,"ujarnya lagi.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, penantian puluhan tahun penduduk kampung yang memerlukan jaringan telekomunikasi ini akhirnya akan berakhir.

Katanya, permohonan Menara Telekomunikasi ini di kemukakan ke MCMC pada Jun 2018 dan pada Februari, JPKK kg Machang menerima kelulusan permohonan pembinaan menara tersebut.

 “Saya berterima kasih kepada Dr Mamad kerana telah banyak membantu selaku Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri .Perkembangan itu adalah satu petanda positif kerana menjadi hasrat kerajaan negeri untuk dapat merapatkan jurang ICT penduduk luar bandar.

“Saya yakin jika penggunaan dan perkhidmatan ICT dapat ditingkatkan, ia dapat membantu meningkatkan lagi taraf kehidupan masyarakat luar bandar,” katanya.